Kampung Sungai Chinchin pula berendam banjir lumpur...


  • Tular
  • Isnin, 30 Ogos 2021

Kejadian banjir lumpur di Pinggiran 5, Kampung Sungai Chinchin, Gombak.

SEBUAH klip video yang dimuatnaik page Facebook bernama Asal Gombak menjadi perhatian warganet apabila memaparkan kejadian banjir lumpur di sebuah kawasan perumahan yang didakwa berlaku pada awal pagi Ahad.

Difahamkan lokasi kejadian itu berlaku di Pinggiran 5, Kampung Sungai Chinchin, Gombak.

Menerusi klip video tersebut, kelihatan kawasan rumah yang dinaiki banjir lumpur yang agak deras susulan tebing kolam air berdekatan kawasan tersebut pecah.

Memetik status yang dimuatnaik bersama video ini, kejadian banjir lumpur itu berlaku susulan hujan lebat yang mengakibatkan sebuah ban kolam air semulajadi pecah sehingga air lumpur melimpah ke kawasan perumahan itu.

Katanya, kejadian banjir dan ban kolam yang pecah itu bukan kali pertama berlaku malah ia dikatakan bertambah buruk.

Satu penyelesaian segera juga diharapkan daripada pihak berkuasa agar kejadian sama tidak berulang.

Menurut salah seorang pengguna Facebook, Zureida Rahem berkata, pada era 80-an, kerajaan pernah mencadangkan kawasan sekitar Kampung Sungai Cincin dijadikan empangan namun menerima bantahan penduduk setempat.

"Kalau tak silap saya dahulu pada tahun 80-an kawasan sekitar Kg Sungai Cincin membawa ke Sg Pusu pernah dicadangkan oleh pihak kerajaan untuk dijadikan empangan air tetapi mendapat bantahan penduduk setempat," katanya dalam ruang komen.

Sementara itu Anne Junus berkata, "Minggu lepas dan harini banjir..tanah mula runtuh sedikit demi sedikit, bulan depan tak tahulah macam mana. Allah menduga sedikit saja..maaf saya fikir positif saja," katanya.

Kejadian itu juga dikhuatiri menjadi lebih buruk seperti yang berlaku di Yan, Kedah baru-baru ini yang menyebabkan lebih 10 buah kampung dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air.

Kejadian kira-kira jam 3 petang pada 18 Ogos itu turut menyebabkan lima orang maut dan seorang lagi masih hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir lumpur, sungai chinchin, gombak