Hanya sempat empat bulan bergelar pasangan bahagia, suami iringi jenazah isteri ke kubur dengan baju nikah


  • Tular
  • Ahad, 29 Ogos 2021

Hassanudeen kehilangan isterinya, Fatimah akibat Covid-19. — Facebook/Hassanudeen Undings Killerz

BEBERAPA keping gambar seorang suami dari Tawau, Sabah yang duduk di sebelah pusara milik isterinya sambil memakai baju melayu yang dipakai dirinya sewaktu majlis akad nikah mereka kira-kira empat bulan lalu, ternyata meruntun hati warga net.

Lelaki tersebut yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Hassanudeen Undings Killerz, terdahulu membuat satu hantaran memohon kepada orang ramai untuk mendoakan isterinya, Fatimah Ismil yang berada dalam keadaan kritikal di hospital gara-gara dijangkiti virus Covid-19.

"Di hari yang barokah ini saya dengan rasa rendah diri memohon kepada rakan-rakan yang mengenali saya ataupun isteri saya Fatimah Ismil untuk memanjatkan doa buat isteri saya.

"Sedekahkan surah Yassin buat dirinya agar menjadi asbab untuk isteri saya bertahan dalam kondisinya sekarang.

"Saya mohon kepada semua agar doakan yang terbaik untuk isteri saya. Hanya Tuhan mampu membalas jasa anda semua," tulisnya.

Fatimah bagaimanapun meninggal dunia pada 27 Ogos.

Hassanudeen yang mengganggap Fatimah sebagai bidadari dunia akhirat kemudian memilih untuk memakai baju melayu yang digunakannya sewaktu majlis akad nikah mereka pada 12 April 2021 ketika mengiringi jenazah isterinya untuk dikebumikan.

"12 April 2021, bergaun cantik aku menikahi mu sayang.

"27 Ogos 2021, berkafan kain putih dirimu meninggalkan ku sayang.

"Ketahuilah aku iringi kepergianmu memakai baju pernikahan kita agar dirimu tahu (bahawa) selamanya Fatima Ismil adalah bidadariku," tulisnya.

Sehubungan dengan itu, rata-rata warganet yang perasan dengan perkongsian tersebut menzahirkan ucapan takziah kepada Hassanudeen dan berharap dia kuat menerima takdir dari ALLAH SWT.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram