Kerajaan tidak bergantung vaksin luar


  • Berita
  • Isnin, 30 Ogos 2021

KERAJAAN sedia beralih kepada alternatif lain jika bekalan vaksin dari luar berlaku kelewatan. — Reuters

KERAJAAN tidak akan memperjudikan nasib rakyat hanya semata-mata mahu menunggu bekalan vaksin tiba dari negara luar.

Sebaliknya langkah lain akan diambil bagi mengelak usaha mencapai imuniti kelompok terjejas sekali gus mungkin akan menyukarkan misi bebas Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) menjelaskan kerajaan tidak akan menunggu bekalan vaksin dari luar sekiranya berlaku kelewatan penghantaran.

Sebaliknya, Ismail menjelaskan kerajaan bersedia untuk beralih kepada bekalan sedia ada dan menjadikan Pharmaniaga Bhd sebagai contoh pembekal vaksin untuk negara ini kerana kilang mereka membuat penyediaan untuk vaksin Sinovac.

Pendekatan ini selaras dengan matlamat untuk memastikan enam negeri, Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah mencapai lebih 50 peratus kadar vaksinasi pada akhir September ini.

“Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus.

"Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan perkara itu sudah pun dibincangkan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). – Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin, Ismail Sabri,