AKSI kejar mengejar penunggang motosikal dan polis tular di media sosial susulan tindakan 'berani mati' suspek cuba melarikan daripada anggota penguatkuasa.
Menerusi satu rakaman video yang dikongsi laman Facebook, Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia, pada awalnya kelihatan penunggang motosikal baju berwarna merah dihampir dua anggota polis bermotosikal.
Menurut maklumat yang dikongsikan, kejadian itu dipercayai berlaku di Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam ke Petaling Jaya pada Khamis.
Video berdurasi 52 saat itu menunjukkan penunggang terbabit enggan memberhentikan motosikalnya walaupun diarah berbuat demikian oleh polis.
Walaupun cuba dihalang beberapa kali, penunggang berkenaan tetap berdegil dan tidak mempedulikan arahan dua anggota polis bermotosikal.
Malah pada satu ketika, seorang daripada anggota polis itu kelihatan seperti cuba menendang penunggang terbabit.
“Main kejar-kejar ye. Mesti ada hal.
“Insiden kejar mengejar antara seorang penunggang motosikal di Federal Highway (arah dari Shah Alam ke PJ) dengan dua anggota polis bermotosikal (URB).
“Penunggang motosikal tersebut berjaya dihentikan di laluan motosikal Subang Jaya-PJ. Kejadian berlaku jam 12.08 tengahari 26. 8.2021,” demikian maklumat yang dinyatakan dalam laman Facebook itu.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesalahan yang dilakukan penunggang tersebut yang menyebabkan dia ditahan polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram