PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menziarahi kubur ibu bapanya di Termerloh, Pahang pada Sabtu, kata Datuk Rodzi Md Saad.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu berkata, Ismail Sabri mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana aktiviti ziarah kubur di luar musim perayaan adalah dibenarkan tertakhluk pada pematuhan SOP.
Jelasnya, larangan aktiviti itu yang diumumkan MKN sebelum ini, hanya tertakluk pada hari tertentu seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja
Tambahnya, aktiviti yang menjadi tradisi pada hari perayaan berkenaan dilarang ketika itu mengikut penilaian risiko jangkitan Covid-19, yang mana kawasan perkuburan menjadi tumpuan awam yang boleh mencetuskan penularan wabak.
“Dalam keadaan di luar waktu perayaan sebenarnya tidak menjadi masalah dan ia dibenarkan (untuk menziarah), namun setiap individu yang menziarah tertakluk kepada pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Yang penting, aktiviti itu mestilah tertakluk dengan SOP am yang diterbitkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa, katanya.
Bagaimanapun katanya, kebenaran untuk masuk ke kawasan kubur dan waktu ziarah adalah bergantung kepada pihak pengurusan tanah perkuburan.
Dakwaan terhadap Ismail Sabri muncul selepas gambar beliau menziarah pusara kedua orang tuanya tular di media sosial. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram