Bantu lebih baik dari menghukum - Dr Wan Azizah


  • Massa
  • Isnin, 30 Ogos 2021

GOLONGAN yang berdepan kemurungan perlu dibantu bagi elak terjadinya kes bunuh diri. — Gambar hiasan

ANGKA kes bunuh diri yang mencecah 1,708 kes bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 sememangnya membimbangkan.

Secara pecahan, golongan wanita lebih banyak terbabit dengan kejadian bunuh diri apabila merekodkan 1,427 kes.

Daripada data dan jumlah kes yang dikongsikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan baru-baru ini, bilangan lelaki yang dilaporkan membunuh diri hanyalah 281 kes.

Jika dinilai secara puratanya, ia cetus kerisauan apabila merekodkan berlaku dua kes bunuh diri setiap hari.

Malah kebanyakan kes membabitkan mangsa berumur 15 hingga 18 tahun dengan 872 orang dan 668 kes membabitkan lingkungan umur antara 19 hingga 40 tahun.

Statistik itu juga mendapat reaksi daripada bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, bilangan kes bunuh diri dan masalah kemurungan dalam kalangan rakyat sejak penularan pandemik agak membimbangkan jika tidak ada tindakan proaktif diambil pihak kerajaan.

Paling utama, Dr Wan Azizah merasakan tindakan atau pun hukuman bukan menjadi solusi terbaik untuk atasi masalah berkenaan sebaliknya perlu diberikan rawatan.

“Sebagai ahli Parlimen dan pembuat dasar, saya juga telah membangkitkan isu pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan dengan percubaan membunuh diri yang masih menjadi jenayah di Malaysia.

“Hakikatnya, mereka yang membuat percubaan membunuh diri tidak wajar dihukum, sebaliknya perlu mendapat rawatan bagi isu kecelaruan mental.

“Itu lebih tepat dan bersifat mencegah, memulih dan merawat,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Dalam masa sama, Dr Wan Azizah juga merasakan adalah menjadi sesuatu perkara yang penting untuk setiap pihak tampil mengulas soal polisi kesihatan awam.

“Kebimbangan terhadap isu kesihatan mental ini harus kita lihat dalam konteks keseluruhan ekosistem kesihatan mental,” katanya. – Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dr Wan Azizah, bunuh diri, kes, murung