BULAN lepas, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membebaskan seorang lelaki warganegara Morocco yang sudah ditahan selama hampir dua dekad di Penjara Guantanamo Bay tanpa pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan.
Suspek, Abdul Latif Nasser terpaksa meringkuk di penjara itu setelah tiba dari Cuba pada tahun 2002.
Kerajaan Amerika menuduh suspek terlibat dengan Taliban, namun tuduhan tersebut tidak pernah dibuktikan sebelum dia akhirnya dibebaskan pada tahun 2016.
Dia bagaimanapun terpaksa menunggu lagi lima tahun untuk dihantar keluar dari kem tahanan terbabit sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Nasser merupakan salah seorang daripada ramai lagi tahanan Guantanamo Bay yang tidak pernah disabitkan dengan kesalahan.
Daripada 39 tahanan yang tinggal, 27 daripada senasib dengan Nassar, mereka ditahan sebagai tahanan perang yang ditahan tanpa perbicaraan, lapor The New York Times.
"Mereka digelar 'banduan selamanya' kerana mereka ditahan selama-lamanya," kata Marck Denbeaux, peguam dan profesor undang-undang di Seton Hall University School of Law.
Terma 'banduan selamanya' ini digunapakai untuk merujuk kepada banduan yang tidak pernah disabitkan dengan kes jenayah dan tidak akan dibicarakan, namun kerajaan AS tetap menganggap mereka sebagai individu merbahaya.
Anak guam Denbeaux, Abu Zubaydah merupakan individu pertama yang didakwa diseksa sewaktu disoal siasat.
Debbeaux berkata, pembebasan Nasser merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan dan dia yakin Biden ingin meneruskan usaha bekas Presiden terdahulu, Barack Obama untuk menutup kem tahanan tersebut.
Usaha ini jelasnya, bagaimanapun tidak mudah kerana ada dalam kalangan 'banduan selamanya' dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan ini, didakwa merupakan suspek yang terlibat dengan serangan penganas pada 11 September 2001.
Dalam pada itu, Profesor dan Pengarah Program polisi Cybersecurity dan tadbir urus Boston College, Kevin Powers berkata, banduan ini dianggap pejuang atau musuh asing yang berperang.
Menurutnya, tahanan ini di anggap sebagai 'pejuang yang tidak sah' kerana mereka tidak mengikut undang-undang antarabangsa yang ditetapkan ketika bertempur dan oleh sebab itulah hak mereka sebagai tahanan perang dinafikan.
Laporan menyebut walaupun ada di antara mereka yang dibenarkan untuk pulang ke negara asal, tahanan ini akan tetap diletakkan di bawah kawalan keselamatan yang ketat.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram