Orang ramai mula ziarah kubur


  • Massa
  • Ahad, 29 Ogos 2021

AKTIVITI menziarah kubur perlu mematuhi SOP meskipun datang seorang diri. — The Star

SUSULAN kenyataan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berhubung aktiviti menziarah kubur tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), orang ramai hari ini mula menziarahi tanah perkuburan ahli keluarga masing-masing.

Seorang warga emas Burhanudin Majid, 61, dari Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan tidak melepaskan peluang menziarah kubur datuknya, Allahyarham Ali Omar dan neneknya, Allahyarhamah Kalsom Ibrahim selepas mendapat tahu kerajaan memberi kebenaran untuk rakyat menziarahi tanah perkuburan.

Dia yang merupakan seorang pengawal keselamatan memberitahu bahawa dia bersyukur kerana kerajaan memberi kebenaran untuk melawat tanah perkuburan selepas lebih tiga bulan tidak dapat berbuat demikian.

"Sudah lama saya tidak ziarah kubur atuk dan nenek malah, semasa perayaan Aidilfitri dan Aidiladha juga rakyat tidak dibenarkan untuk menziarah kubur.

"Kebenaran ini memberi peluang untuk saya melepaskan rindu kepada ahli keluarga yang telah pergi dan pada masa sama SOP juga perlu dipatuhi walaupun datang seorang diri," katanya yang memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan sepanjang menziarah kubur.

Tambahnya, dia berharap agar orang ramai dapat patuh kepada arahan kerajaan dalam usaha untuk menurunkan angka kes Covid-19 bagi membolehkan kita kembali hidup normal seperti sebelum ini.

Semalam Rodzi mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melanggar SOP ketika menziarah kubur ibu bapanya berikutan aktiviti itu tidak dinyatakan secara khusus dalam PPN ketika ini.

Katanya, aktiviti itu juga tidak membabitkan kumpulan atau individu yang ramai dan bukan berlaku setiap hari.— Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kubur, ziarah, Datuk Rodzi, Ismail Sabri, SOP, PPN