TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan harapan supaya guru-guru sedar akan tanggungjawab mereka dan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka.
Hari ini, Baginda mengadakan pertemuan dengan sejumlah guru yang masih belum divaksinasi untuk mendengar ulasan mereka mengenai isu-isu yang dihadapi.
Pertemuan yang berlangsung di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Mohd Noh Ibrahim; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.
“Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.
“Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” titah Tunku Ismail di Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor.
Baginda menzahirkan harapan agar guru-guru terbabit sedar akan tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.
“Saya berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Ahad lalu, Tunku Ismail menitahkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan seramai 779 guru di Johor yang dilaporkan enggan divaksinasi supaya menghadap baginda dalam masa terdekat susulan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Ogos lepas bahawa terdapat golongan guru yang menolak pemberian vaksin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram