15 samseng jalanan tersungkur dicekup polis, air ketum antara dirampas


  • 112
  • Ahad, 29 Ogos 2021

Sarifudin berkata, sebanyak 978 saman dikeluarkan dalam operasi tersebut. — Bernama

SERAMAI 15 orang lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar ibu negara pada awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua lelaki berusia 17 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berbeza di antara pukul 11 malam dan 3 pagi.

"Suspek pertama ditahan di Jalan Bangsar dan polis merampas sebotol air dipercayai ketum. Lima suspek lain pula ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya serta melakukan aksi berbahaya di jalan raya di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

"Tujuh lelaki lagi ditahan kerana sedang melakukan aksi ‘Superman’, ‘roket’ dan bersaing antara satu sama lain di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). Mereka dibawa ke JSPT Kuala Lumpur,” ujarnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, dua lelaki ditangkap kerana disyaki menukar nombor pendaftaran asal kepada nombor pendaftaran palsu di kawasan Sentul selain mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan mengikut kesalahan antaranya di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Sekyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurut Sarifuddin, operasi itu juga menyaksikan 978 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, ujar beliau lagi, pihaknya memandang serius dan akan mempertingkatan operasi dari masa ke masa bagi membendung perlakuan samseng jalanan selain menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram