Pura-pura ke tandas sebelum menyamun


  • 112
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

TANGKAP layar rakaman CCTV menunjukkan mangsa diserang dua suspek bersenjatakan parang. — Facebook

TINDAKAN berani seorang penjaga kedai runcit ternyata berbaloi apabila dapat menyelamatkan nyawanya selepas diserang dua lelaki yang cuba menyamun kedainya.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Taman Makmur Kluang, Johor pada Jumaat berdasarkan perkongsian laman Facebook, Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) selama seminit itu, mangsa pada awalnya kelihatan sibuk di kaunter sebelum seorang lelaki memasuki premis seperti mahu ke tandas yang terletak di bahagian belakang kedai itu.

Kemudian, seorang lagi lelaki bertopi merah muncul untuk mengambil beg sandang yang dipakai oleh penjaga kedai itu sebelum suspek awal mengeluarkan parang dan membantu rakannya.

Tindakan ganas kedua-dua suspek menyebabkan mangsa rebah.

Lelaki bertopi merah itu terus melarikan diri apabila berjaya merampas beg sandang mangsa meninggalkan rakannya bergelut dengan penjaga kedai itu.

Mangsa dilihat berjaya bangun dan cuba mempertahankan dirinya menggunakan kerusi, menyebabkan suspek pertama melarikan diri.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada mangsa mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

samun, cctv, tular, suspek