Polis selamat 3 beradik mangsa dera ibu, kekasih


  • 112
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

MOHAMAD Fakhrudin Abdul Hamid mengulas tentang penahanan dua suspek kes dera di Kota Damansara. — The Star

TIGA beradik berusia antara empat dan tujuh tahun diselamatkan polis selepas disyaki menjadi mangsa penderaan.

Mereka diselamatkan hasil maklumat seorang wanita yang mengetahui perkara itu daripada seorang penghuni lain di sebuah pangsapuri di Kota Damansara.

Hasil maklumat itu, polis menyerbu sebuah rumah di pangsapuri yang sama pada pukul 4 petang Jumaat sebelum menahan seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya dan seorang lelaki yang dipercayai kekasih wanita itu.

Penahan wanita berusia 30 tahun dan lelaki berusia 38 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan kes itu dan polis turut merampas tiga batang rotan pelbagai saiz.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, ketiga-tiga beradik berusia antara empat dan tujuh tahun itu mempunyai kesan lebam dan kecederaan di badan dipercayai akibat didera.

"Polis menerima laporan kes itu pada Khamis daripada seorang wanita yang mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut daripada penghuni lain pangsapuri berkenaan.

"Pengadu pegi ke pangsapuri suspek untuk buat pemeriksaan dan pengesahan berhubung maklumat yang diterimanya.

"Pengadu menasihatkan ibu tunggal berkenaan agar tidak memukul anaknya dan suspek telah menyerahkan anaknya iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun untuk dijaga oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak berusia empat tahun itu mendapati ada kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan dan dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu, beliau berkata polis menyerbu kediaman kanak-kanak itu dan menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun.

Kedua-dua mereka juga mempunyai kesan kecederaan pada badan disyaki akibat penderaan dan mereka dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut.

Mereka akan dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya, katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan agar masyarakat sentiasa peka dengan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman dan kejiranan tempat tinggal dan melaporkan sebarang kejadian keganasan rumah tangga atau penderaan kanak-kanak dengan menghubungi talian kasih 15999 untuk bantuan segera. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram