KEKAL bertugas sebagai pemandu teksi sepanjang pandemik Covid-19 menjadi tanggungjawab besar sebagai salah satu frontliners dan golongan itu berdepan risiko jangkitan yang tinggi.
Bagi memastikan segala kebajikan terjaga sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, pemandu teksi disaran kekal mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu kenyataan berkata menerusi SKSPS, skim berkenaan dapat membantu pemandu teksi menerima faedah Hilang Upaya Sementara.
"Saya difahamkan seramai enam pemandu teksi di Perlis yang didapati positif Covid-19 akibat jangkitan daripada penumpang.
"Mereka bakal menerima faedah Hilang Upaya Sementara di bawah SKSPS, kerana itu penting untuk memastikan setiap pemandu teksi mencarum di bawah skim ini.
"Inisiatif ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di mana sebahagian sumbangan merupakan wakalah yang dikembalikan kepada Perkeso hasil Potongan Zakat Berjadual (PZB) anggota setiap bulan," katanya.
Kenyataan Mohammed Azman itu bagi mengulas mengulas program agihan Infaq Rezeki Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membuat Agihan Infaq Rezeki Jelajah Utara Prihatin bermula 27 sehingga 30 Ogos.
Misi itu dilakukan di beberapa kawasan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Pinang, Jeti Pulau Langkawi, Kompleks Terminal Bas dan Teksi Kangar Perlis dan Terminal Bas Shahab Perdana, Kedah.
Ketua Cawangan Sumber Manusia Perkeso, Mohd Razmi Khalid berkata, bantuan berbentuk barangan asas keperluan dapur diberikan kepada pemandu yang mencarum SKSPS.
"Perkeso melihat kolaborasi ini sinergi yang sangat baik dan memberikan impak positif. Kami juga menyeru lebih ramai yang akan tampil bersama-sama dalam Misi Bantuan Infaq Rezeki ini supaya lebih ramai akan menerima manfaat," katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata misi ini menyaksikan lebih 400 pemandu teksi dan limo menerima sumbangan.
"Ujian pandemik yang sedang melanda seluruh dunia tentunya memberi impak besar buat kita semua. Ramai yang telah kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan," katanya. – Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram