PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan diadakan di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di ibu negara malam ini.
Mesyuarat khas tersebut difahamkan sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, tetapi telah dua kali tertangguh sebelum tarikhnya dimuktamadkan hari ini.
Ini merupakan kali pertama mesyuarat MKT Umno berlangsung selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Sabtu lalu.
Mesyurarat malam ini juga adalah kali pertama sidang MKT berlangsung dengan Perdana Menteri bukan sebagai Presiden parti.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno tengah hari tadi mengumumkan barisan Jemaah Menteri dan timbalan masing-masing.
Antara Ahli-Ahli Parlimen Umno yang dilantik dalam barisan Kabinet baharu adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri Wilayah Persekutuan), Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi). — Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram