Jakim saran modul khas latih guru bimbing mualaf


  • Primer
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

SIRAJUDDIN berkata, program pendidikan guru mualaf dapat melahirkan tenaga kerja mahir sama ada peringkat sijil atau diploma. — Agensi

PENDIDIKAN formal mualaf perlu dimajukan lebih sistematik bagi menyokong kelestarian penghayatan Islam saudara baharu dengan bahasa yang difahami.

Lantaran itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan pembangunan suatu modul kurikulum khas bagi melatih guru yang terbabit dalam membimbing mualaf di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (Ipdas) boleh memainkan peranan menjayakan misi itu.

“Saya percaya program pendidikan guru mualaf dapat melahirkan tenaga kerja mahir sama ada peringkat sijil atau diploma untuk mengangkat imej martabat usaha dakwah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan, negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bergabung bagi memastikan pengurusan, pendidikan dan bimbingan agama golongan itu dapat dilaksanakan secara berstruktur dan baik.

Beliau berkata, usaha itu penting kerana setiap tahun dianggarkan lebih 10,000 orang memeluk Islam di negara ini yang memerlukan bimbingan.

Katanya, Sabah dan Selangor mencatatkan jumlah pengislaman tertinggi iaitu seramai 20,115 dan 16,708 dari 2010 hingga 2018, dengan purata 2,000 orang setahun.

“Inisiatif pembelajaran menggunakan bahasa yang sama menjadi suatu kelebihan dan boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan mereka, “ katanya. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mualaf, Jakim, modul baharu