Politik Malaysia tak boleh di takuk lama, kata Khaled Nordin


  • Politik
  • Rabu, 25 Ogos 2021

KHALED Nordin menyambut baik persefahaman Perdana Menteri dan Pakatan Harapan. — THE STAR

POLITIK Malaysia tidak boleh lagi berada dalam takuk lama, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menegaskan, prejudis terhadap pembangkang mesti berakhir dan begitu juga persepsi terhadap kerajaan harus berubah.

“Paradigma baru dalam amalan demokrasi kita mesti harus lebih luwes, terbuka dan progresif.

“Semua adalah rakan penting dalam kesuburan demokrasi dan tatakelola yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) hari ini mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Ismail Sabri berkata, kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan beliau bersama pimpinan utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

Menyambut baik perkara itu, Khaled berkata, persefahaman antara Perdana Menteri dan PH yang bekerjasama dalam menyelesaikan kemaslahatan negara adalah permulaan era baharu yang sangat positif.

Beliau berkata, persetujuan bersama itu berlaku hanya tiga hari setelah Perdana Menteri menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama rentas parti dan ideologi dalam semangat Keluarga Malaysia.

“Saya berharap agar langkah besar yang dimulakan oleh Perdana Menteri akan disusuli dengan pelbagai tindakan yang lebih terangkum dari kedua-dua pihak.

“Malaysia adalah milik semua. Ia tanah air semua untuk semua dan kita mesti bersepakat deminya. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,” tambahnya. — MAJORITI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram