JAWATAN yang dipegang mewajibkan setiap frontliners mendapatkan suntikan vaksin bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 dapat dilakukan secara berkesan.
Sebagai barisan hadapan, risiko dan kebarangkalian jangkitan virus Covid-19 adalah lebih besar, tidak kira kepada kelompok itu mahu pun berlaku penyebaran kepada orang awam.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang UiTM, Ahmad Shukree Mohd Salleh berkata adalah menjadi tanggungjawab buat barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin.
“Mereka berada dalam kelompok awam dan akan ada interaksi. Jadi frontliners ada tanggungjawab besar dan mereka wajib divaksin.
“Bagi kes itu, mereka (anggota tentera) tertakluk dengan dua undang-undang, akta ATM dan juga undang-undang sivil.
“Apabila memegang jawatan, tidak boleh lagi ada pilihan peribadi kerana jawatan yang mereka ada mewajibkan mereka untuk mendapatkan vaksin,” katanya ketika dihubungi.
Kenyataan Ahmad Shukree ketika diminta mengulas mengenai seorang anggota tentera yang dipecat selepas enggan menerima vaksin.
Dalam masa sama, Ahmad Shukree berkata mana-mana individu yang didapati menggunakan sijil vaksin palsu boleh didakwa mengikut kesalahan jenayah.
“Ada dua sebab yang mungkin berlakunya penggunaan sijil vaksin palsu. Pertamanya, mungkin disebabkan keadaan terdesak dan kedua, adalah sikap tidak ambil berat.
“Sistem MySejahtera sedia ada sekarang sudah memadai. Kalau mahu bercakap soal kelemahan, semua aplikasi atau sistem pasti akan ada dan akan ada orang yang cari kelemahan.
“Pendakwaan boleh dibuat mengikut Seksyen 464 Kanun Keseksaan kerana membuat dokumen palsu dan mungkin boleh menggunakan akta kawalan penyakit berjangkit,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata sudah tiba masanya untuk projek vaksinasi diberikan tumpuan lebih serius oleh pihak kerajaan.
“Cuepacs tidak pernah menyatakan bahawa terdapat 400,000 penjawat awam yang belum menerima suntikan vaksin. Apa yang dinyatakan Cuepacs sebelum ini adalah kira-kira 73.9 peratus penjawat awam telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin setakat 12 Ogos lalu.
“Ketika ini kerajaan memberi tumpuan kepada penggiat industri ekonomi untuk menerima vaksin secepat mungkin, tumpuan yang sama perlu diberikan kepada penjawat awam yang akan menjadi pemudah cara kepada sektor ekonomi yang sudah pun dibuka secara berperingkat ketika ini.
“Ketua jabatan masing-masing juga perlu memastikan kakitangan mereka mendapat suntikan vaksin,” katanya — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram