PRESTASI Kabinet Jemaah Menteri baharu yang diumumkan hari ini bakal menjadi petunjuk indeks prestasi utama (KPI) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, kata pakar politik.
Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpendapat, Kabinet yang ditubuhkan ketika ini menumpukan kepada beberapa perkara penting termasuk pandemik Covid-19, perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negara.
Oleh itu, katanya, Ismail Sabri telah menggariskan panduan selama 100 hari bagi melihat prestasi anggota-anggota Kabinet.
Jelasnya, prestasi kerajaan akan teruji dalam tempoh berkenaan.
“Kita mengharapkan yang terbaik dan anjakan paradigma baru dalam Kabinet. Kita nak tengok dalam masa 100 hari ini apa akan terjadi pada Kabinet kali ini,” katanya kepada Majoriti.
Syed Agil berkata, Kabinet baharu ini bukan hanya tertumpu kepada isu terkini malah turut memfokuskan kepada Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Syed Agil menyifatkan Kabinet kali ini lebih mencabar kepimpinan Perdana Menteri.
“Sebab tu kita tengok ada 70 anggota Kabinet. Kenapa begitu besar? Sebab tumpuan kepada Covid-19, perpaduan dan pada masa sama dia tidak mahu pemimpin-pemimpin komponen akan lompat, tidak dilantik di dalam Kabinet dan sebagainya.
“Ini adalah cabaran kepada Perdana Menteri bahawa Kabinet kali ini adalah lebih menyeluruh atau ikut ketetapan mahupun saranan parti komponen dalam kerajaan sekarang.
“Ini adalah sebab mengapa ada muka lama dikekalkan dan muka baharu masuk (dalam Kabinet). Itu juga saranan daripada parti komponen, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Orang-orang berjawatan menteri juga ada jawatan penting dalam parti.
"Apapun kita akan tahu perkembangan ekonomi selepas Oktober ini,” jelas Syed Agil.
Terdahulu, Ismail Sabri hari ini mengumumkan pembentukan Kabinet baharu dibarisi seramai 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri. Bagamanapun tiada pengumuman berhubung lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dibuat.
Empat menteri kanan dilantik meliputi Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Pertahanan.
Rata-rata Jemaah Menteri yang diumumkan merupakan bekas Menteri dan Timbalan Menteri yang dibarisi kerajaan terdahulu.
Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri MITI dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Pertahanan.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan sementara Datuk Seri Dr. Adham Baba pula dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, Kabinet baharu yang diambil alih daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin ini mempunyai ciri-ciri sama termasuk anggota-anggota di dalamnya.
Chandra Muzaffar menyifatkan Kabinet baharu mempunyai ciri-ciri sama seperti ketika pucuk pimpinan Muhyiddin Yassin. — The Star
Beliau turut menyifatkan pembentukan Kabinet pada kali ini adalah berbentuk peralihan disebabkan pilihan raya umum bakal diadakan tidak lama lagi.
“Kebanyakan mereka yang bakal dilantik (dalam Kabinet) sudah tentu ada jawatan terdahulu dan sudah tentu jawatan-jawatan itu hanya disambung kerana apa yang diusahakan oleh Ismail Sabri cuma melantik menteri baharu yang tetap berada dalam Kabinet lama,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram