Tiada pengumuman barisan Kabinet baharu


  • Berita
  • Khamis, 26 Ogos 2021

ISMAIL Sabri Yaakob masih belum mengumumkan barisan Kabinet yang akan membantunya mentadbir kerajaan. — Agensi

PERDANA Menteri tidak akan membuat pengumuman barisan Kabinet pada Khamis.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang baru lima hari dilantik mengemudi negara tidak akan membuat pengumuman barisan menteri untuk membantunya dalam menguruskan pentadbiran negara.

Sebelum ini tular pelbagai versi senarai anggota Kabinet baharu.

Mengesahkan bahawa senarai itu palsu, Ismail Sabri berkata senarai tersebut akan diumumkan setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam 30 minit menghadap Yang Dipertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis.

Istana Negara menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.

"Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob selaku Perdana Menteri. Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu.

Ismail yang juga ahli Parlimen Bera itu dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan pada 16 Ogos selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dalam ucapan sulungnya Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal dan ia merupakan landskap politik yang merugikan rakyat dan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram