PELAKSANAAN arahan bekerja dari rumah (WFH) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak tahun lepas angkara Perintah kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan permintaan terhadap barangan gajet meningkat dengan mendadak.
Gajet seperti komputer riba, telefon pintar dan mesin cetak jelas mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna bagi memudahkan urusan mereka di rumah.
Namun, situasi ini 'dimanfaatkan' oleh penyangak scammer online yang tergamak mengaut keuntungan dengan cara yang tidak sah.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), sebanyak 598 aduan berhubung penipuan pembelian gajet online diterima bermula 1 Januari hingga 12 Julai 2021.
Angka itu jelas menunjukkan meskipun diberi peringatan berkali-kali diuar-uarkan, kes penipuan melibatkan pembelian gajet masih kerap berlaku dalam kalangan rakyat negara ini terutamanya sewaktu musim PKP.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pengguna dikesan mudah terpedaya dengan gambar produk yang diiklankan terutamanya jika barang tersebut ditawarkan dengan harga murah.
"Pengguna juga mudah mempercayai testimoni palsu berkaitan produk yang dijual dan tidak membuat semakan spesifikasi barangan yang ditawarkan.
"Ada juga pengguna yang terpedaya selepas melakukan pemindahan wang bagi barangan yang dibeli," katanya kepada Majoriti.
Scammer akan menggunakan peluang ada untuk menipu para pembeli. — Agensi
Mengulas lanjut, kata Alexander, pengguna juga perlu mengambil langkah sewajarnya jika melakukan pembelian menerusi kaedah tunai semasa penghantaran (COD) kerana masih ramai yang terpedaya meskipun melakukan pembelian menerusi COD.
"Kaedah paling terbaik adalah sila semak barangan yang diterima daripada penjual dengan serta-merta. Pengguna perlu tegas sekiranya barangan itu diterima dalam keadaan yang tidak elok. Jangan sesekali menerima produk yang berbeza daripada apa yang diiklankan," tegasnya.
Jelas Alexander lagi, pihak berkuasa juga telah menguatkuasakan peruntukan perundangan sedia ada bagi mengekang promosi produk yang memperdayakan pengguna.
"Penyedia platform pembelian atas talian perlu mematuhi lapan perkara yang digariskan di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.
"Pihak berkuasa juga mendapatkan kerjasama daripada pemilik cap dagang untuk mengemukakan pengawasan pemasaran (market surveillance) untuk diambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran di bawah peruntukan perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagangan 2019," katanya.
Alexander turut menasihatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP melalui saluran aduan yang telah disediakan supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap penyangak scammer online. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram