Pelantikan Tengku Zafrul beri impak positif kepada pasaran modal, kata pakar ekonomi


  • Massa
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

TENGKU Zafrul sebelum ini turut memegang portfolio sama di bawah era Muhyiddin Yassin. — Bernama

PELANTIKAN semula Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan hari ini dilihat mampu memberi impak positif kepada pasaran modal, perniagaan dan rakyat secara umumnya, kata pakar ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan pelantikan Tengku Zafrul dalam Jemaah Kabinet, akan ada kesinambungan dasar dan kejelasan tentang hala tuju dasar fiskal negara.

"Ini bermakna pendirian kerajaan terhadap dasar fiskal semasa dijangka berkembang kerana ekonomi negara ketika ini masih terjejas akibat daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Semasa tempoh perkhidmatannya, Tengku Zafrul juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memantau pelaksanaan strategi dan langkah-langkah bantuan serta mengambil langkah proaktif dalam menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang disebabkan oleh Covid-19.

Beliau juga bertanggungjawab bagi Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA).

Mohd Afzanizam berkata, pelantikan semula itu penting terutamanya ketika negara masih sedang bergelut dengan pandemik tersebut sejak tahun lepas.

"Langkah sewajarnya terutamanya bagi pakej rangsangan yang sesuai dianggap sebagai amat penting bagi memastikan ekonomi Malaysia mampu pulih dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub turut meluahkan pendapat sama dengan menyifatkan pelantikan tersebut merupakan isyarat jelas bahawa Tengku Zafrul telah memperlihatkan prestasi yang cemerlang sebelum ini dan wajar dikekalkan bagi meneruskan proses pemulihan ekonomi yang telah dirancang oleh kerajaan.

Mohammad Tawfik juga berpandangan bahawa tiada tempoh bulan madu kepada jemaah menteri kerana mereka berdepan dengan cabaran dan halangan getir dalam aspek kesihatan, ekonomi dan politik.

"Jemaah menteri wajib memulihkan keyakinan rakyat dengan kadar segera menerusi strategi baharu yang luar biasa bagi menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi.

"Inilah sebenarnya formula penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan pemulihan utama yang perlu diberi perhatian serta-merta oleh kerajaan.

"Bagi saya, kabinet ini perlu diberi peluang untuk membuktikan mereka mampu melaksanakan tugas lebih drastik dan agresif,” katanya. — Bernama