SEBUAH video klip yang memaparkan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke lokasi tapak perniagaan yang terletak berdekatan Masjid Khalid al Walid, Dato' Keramat mendapat perhatian netizen.
Video yang dimuatnaik di Tiktok menerusi akaun e_zzueketupat_ memperlihatkan situasi ketika pemimpin nombor satu negara itu sedang mendengar keluhan peniaga yang mendakwa mereka diarahkan menghentikan perniagaan pada hujung bulan ini oleh pihak berkuasa tempatan atas asalan tapak tersebut akan dibangunkan.
Tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, Ismail Sabri dilihat terus menghubungi salah seorang pegawai yang bertanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara itu.
"Saya di tapak berniaga di depan Masjid Khalid al Walid, berdekatan Mindef ini. Saya difahamkan pihak anda mahu menutup tapak perniagaan ini pada hujung bulan ini.
"Saya telah berbincang dengan mereka (peniaga), selagi belum selesai PKP, jangan tutup tapak berniaga ini," katanya kepada pegawai tersebut yang memberi respons bahawa pembangunan di lokasi tersebut hanya akan dilaksanakan dalam tempoh setahun lagi selepas perbincangan diadakan antara pihak pemaju.
Rata-rata netizen menghargai dan memuji tindakan pemimpin tersebut yang dengan tegasnya membela nasib para peniaga.
"Terbaik paklong" kata pengguna Facebook, Dzulhilmi Osman
Kata Mohd Hayat Awang pula, "Permudahkan urusan rakyat..terbaiklah," katanya. — MAJORITI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram