"Kalau macam itu gayanya, bila Covid-19 nak lenyap"


  • Tular
  • Rabu, 25 Ogos 2021

TANGKAP layar video yang tular menunjukkan Ismail Sabri dikerumuni ramai orang ketika beliau melawat Yan baru-baru ini.

NETIZEN mengecam tindakan segelintir penduduk serta pegawai pengiring di lokasi bencana kepala air di Yan, Kedah yang tidak menjaga penjarakan sosial ketika mengiringi kehadiran Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Kecaman tersebut dilontarkan selepas sebuah video dimuat naik oleh pengguna Facebook, Ilias Razak semalam.

Menurut seorang pengguna Saidatul Amani: "Kalau macam itu gayanya, macam mana Covid-19 nak lenyap. Kesian mereka yang patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) macam kami tergendala semua kerja."

Malah Saidatul mengecam tindakan segelintir individu yang menyibukkan diri mengiringi Perdana Menteri.

"Jaga jarak, masing-masing tahu diri... Covid tak pandai bodek tak makan rasuah... Kalau dah ramai mcm tu tak payah la terlibat..."

"Biar PM buat kerja dia, bodyguard pun dah ramai... Kalau setakat nak mengekor lebih baik tak payah join, duduk rumah lebih bagus," tulisnya.

Ismail Sabri meninjau situasi para pekerja Jabatan Pertahanan Awam di lokasi bencana banjir, Yan, Kedah pada 23 Ogos lalu. — BERNAMA

Ismail Sabri meninjau situasi para pekerja Jabatan Pertahanan Awam di lokasi bencana banjir, Yan, Kedah pada 23 Ogos lalu. — BERNAMA

Dalam video berdurasi 27 saat itu, orang ramai dilihat berkerumun mengiringi Ismail Sabri sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

Pada Selasa, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Alwi Che Samad menggesa agar pemimpin politik parti itu termasuk pegawai pengiring supaya menjaga imej Ismail Sabri dan tidak melakukan tindakan berlebihan.

"Macam semalam tular di Kedah itu sampai berpuluh buah kereta ikut. Guna kapal terbang Perdana Menteri, tak apalah nak naik itu, baguslah, tapi ini imej lama.

"Imej ini yang menyebabkan orang marah dengan kita. Jadi berpada-padalah. Boleh pergi tapi tak payahlah tunjuk," katanya selepas sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam.

Ismail Sabri sebelum itu menerima kritikan selepas sekeping gambar menunjukkan rombongan ahli-ahli Parlimen Umno turut menyertai lawatan rasmi di Kedah. — MAJORITI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram