Syarikat perkhidmatan perunding pembinaan kini boleh beroperasi


  • Bizz
  • Khamis, 26 Ogos 2021

SYARIKAT perkhidmatan perunding pembinaan dibenarkan beroperasi untuk Fasa 1 dan 2 PPN. — THE STAR

SYARIKAT perunding sektor pembinaan dibenarkan beroperasi semula untuk kawasan yang berada dalam Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 24 Ogos.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam kenyataannya berkata kebenaran itu membolehkan syarikat perkhidmatan perunding seperti arkitek, jurutera, juruukur bahan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan beroperasi semula.

Bagaimanapun, semua syarikat itu harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan serta kesemua syarat, peraturan dan SOP lain yang sedang berkuat kuasa.

"Permohonan untuk beroperasi hanya diperlukan bagi kawasan-kawasan di bawah PPN Fasa 1 dan Fasa 2 sahaja.

"Syarikat-syarikat perunding boleh memohon kebenaran beroperasi menerusi Sistem CIMS MITI di https://notification.miti.gov.my/ di bawah Kluster Pembinaan, dengan memilih salah satu sektor yang disenaraikan,” menurut kenyataan tersebut.

Sektor-sektor tersebut ialah Sektor 27 yang merangkumi perkhidmatan profesional atau perunding berkaitan dengan kerja-kerja dibenarkan, Sektor 32 (operasi pejabat) dan Sektor 33 (lain-lain kerja atau aktiviti pembinaan yang tidak tersenarai dalam Sektor 1 - 32 yang dibenarkan beroperasi berdasarkan pengisytiharan kadar vaksinasi pekerja.

Menurut CIDB, ia mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan yang didapati melanggar peruntukan Akta 520 atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain termasuk Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990). Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

CIDB, syarikat perunding, operasi, PPN, pembinaan