
JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) melancarkan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN) 2.0 pada Khamis dalam usaha meningkatkan tahap pengamalan nilai dan integriti pada peringkat individu serta organisasi awam.
Ujar Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, SPAN 2.0 itu adalah penambahbaikan SPAN terdahulu yang dibangunkan pada 2007.
SPAN dibangunkan bertujuan menetapkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan pengurusan amalan nilai secara holistik.
"SPAN 2.0 menumpukan pada tiga komponen utama iaitu pengurusan program nilai, pengauditan nilai dan intervensi, serta mempunyai lima domain pengukuran iaitu rekod amalan nilai, nilai ideal, nilai peribadi, nilai organisasi dan maklum balas pelanggan, bagi mengukur tahap pengamalan nilai perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan JPA yang disiarkan secara maya.
Tambah Mohd Khairul Adib, beliau meminta agar penjawat awam terus memastikan kestabilan negara tetap utuh melalui pentadbiran kerajaan yang teguh berpandukan Rukun Negara meskipun berdepan Covid-19.
Jelas beliau lagi, pandemik Covid-19 telah menimbulkan ketidaktentuan dalam setiap aspek kehidupan harian dan perubahan yang berlaku menuntut penjawat awam mengamalkan normal baharu dalam kehidupan.
"Peperangan melawan pandemik ini telah menyebabkan tekanan, ketidakstabilan emosi, kelelahan pandemik dan sebagainya, yang kadang kala melemahkan kita.
"Kita perlu segera bangkit, saling berpaut, bersatu hati, bertahan dan terus berjuang. Kita perlulah mempunyai ketahanan dalam menghadapi situasi ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Khairul Adib menyeru penjawat awam mengukuhkan kekuatan dalaman dan segera beradaptasi terhadap norma baharu dalam kehidupan serta pekerjaan.
"Adaptasi yang diambil akan mampu menjadi perisai kepada kita untuk menghadapi tekanan, kebimbangan dan memperkasa daya tindak diri. Kita sebagai penjawat awam mestilah terbuka dalam menerima teguran yang membina untuk kebaikan bersama,” katanya.
Tegas Mohd Khairul Adib perkhidmatan awam juga hendaklah memiliki ciri-ciri organisasi yang berdaya tahan, agar mampu meramal, mempersiapkan diri untuk bertindak balas, serta menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan kaedah penyampaian perkhidmatan demi melaksanakan amanah yang digalas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram