Kabinet baharu perlu bukti langkah segar tangani krisis


  • Primer
  • Khamis, 26 Ogos 2021

KABINET yang diwujudkan dalam tempoh yang runcing ini harus menjadi pasukan yang lebih kuat dalam membantu kerajaan menangani wabak Covid-19 di negara ini.

KABINET yang bakal diumumkan Perdana Menteri perlu membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan langkah-langkah baharu dalam menangani pelbagai krisis, kata penganalisis politik.

Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata peranan itu juga perlu dimainkan oleh setiap anggota Kabinet baharu.

"Inilah masa yang sangat penting buat anggota Kabinet menguruskan krisis dan sudah tentu hanya mereka yang mempunyai kepakaran dan kepimpinan layak mengisi kedudukan tersebut," katanya.

Beliau berkata, menteri Kabinet juga harus bekerja rapat dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bakal diperluaskan dengan penglibatan pihak pembangkang.

Tambahnya, penggabungan beberapa kementerian dengan portfolio yang berkaitan boleh menjadi keputusan tepat dari Perdana Menteri.

"Dengan ini kerajaan dapat memanfaatkan menjawat awam untuk fokus pada pemulihan dan membantu pembaikan sistem," tambahnya.

Pada masa sama, Sivamurugan turut menjelaskan tiada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan seorang Perdana Menteri perlu melantik timbalannya dalam Kabinet.

Pasukan lebih kuat

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Kabinet yang diwujudkan pada waktu yang runcing ini haruslah menjadi pasukan yang lebih kuat dalam membantu kerajaan menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kabinet baharu ini perlu memandang serius dan mempertimbangkan kritikan masyarakat terhadap pentadbiran sebelumnya selain Perdana Menteri juga harus memastikan barisan Kabinet yang akan diumumkan tidak terlalu besar.

"Dengan ini beliau dapat mengurangkan pembaziran terhadap dana kerajaan," tambahnya.

Katanya lagi, tiada keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri buat masa ini memandangkan ia juga tidak tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memaksa Perdana Menteri untuk melakukannya.

"Kabinet masih sah dan boleh berfungsi. Jawatan ini begitu menarik minat banyak individu seolah-olah timbalan perdana menteri yang akan datang akan menjadi perdana menteri berikutnya," katanya.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram