CUBAAN menyeludup keluar 184 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM6.62 juta disorok dalam kotak yang diisytiharkan sebagai alat perkakasan dapur elektrik untuk mengaburi pihak berkuasa berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Rampasan tersebut dibuat menerusi operasi di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Ogos lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam operasi dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Kastam JKDM menemukan bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dalam bungkusan teh yang diisi dalam kotak.
"Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada kotak itu berisi bungkusan teh yang di dalamnya mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya seberat 184 kilogram untuk diseludup ke negara-negara di Asia Pasifik.
"Turut ditahan bersama dadah tersebut, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 43 tahun,” ujarnya kepada pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.
Tambah Abdul Latif, susulan rampasan itu, JKDM telah melakukan serbuan di dua rumah berasingan di sekitar Nilai dan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 42 dan 45 tahun yang disyaki dalang sindiket tersebut.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama dengan dadah diperoleh dari pasaran tempatan.
"JKDM berusaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dengan sindiket tersebut, manakala siasatan berhubung rekod jenayah lampau termasuk hasil ujian air kencing kesemua lelaki yang ditahan masih dijalankan,” jelas beliau lagi.
Katanya, kesemua mereka direman 14 hari bermula 17 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram