Cuba sembunyi bawah kaunter, penganggur ditahan pecah masuk stesen minyak


  • 112
  • Khamis, 26 Ogos 2021

SUSPEK ditahan selepas polis menerima laporan tentang kes pecah masuk di sebuah stesyen minyak.

SEORANG penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan pecah masuk stesen minyak serta beberapa kedai melibatkan kerugian RM69,713 di sekitar Port Dickson, Seremban dan Nilai, akhirnya ditahan polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada individu yang bekerja di syarikat penggera keselamatan sekitar jam 3.27 pagi yang memaklumkan bahawa sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban dipecah masuk.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, pihak polis mendapati cermin kaca stesen minyak berkenaan dipecahkan dan pemeriksaan lanjut di dalam kedai menjumpai suspek lelaki berusia 29 tahun yang bersembunyi di bawah kaunter pembayaran.

"Antara barang dirampas ialah wang tunai sebanyak RM500, tukul besi, sarung tangan dan sebuah motosikal. Pihak polis turut membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang pernah didiami oleh lelaki itu di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang.

"Turut dirampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah kedai dan pecah stesen minyak antaranya rokok pelbagai jenama, gelang tangan, telefon bimbit dan cermin mata," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aidi Sham, suspek yang tidak memiliki rekod jenayah dan bebas daripada pengaruh dadah kini direman selama lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, siasatan mendapati bahawa suspek aktif melakukan jenayah secara solo sejak Oktober tahun lalu sehingga Ogos tahun ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram