SEBUAH kontena yang membawa barangan terlarang ke negara ini pada bulan lalu cuba mengaburi pihak berkuasa kastam dengan meletakkan label 'Garments'.
Kontena terbabit bagaimanapun berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ketika cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan, kontena itu mengandungi sembilan juta batang rokok bernilai kira-kira RM900,000.
Ujarnya, hasil rampasan daripada penahanan kontena itu melibatkan jumlah duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM6.03 juta.
"Rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga/ Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
"Orang ramai diminta membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," kata Zazuli. — BERNAMA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram