Thailand 'halalkan' ketum, Malaysia dijangka terima kesan


  • 112
  • Rabu, 25 Ogos 2021

DATA menunjukkan jumlah rampasan daun ketum oleh PDRM. — AGENSI

KES membabitkan penyeludupan daun ketum di Malaysia dijangka meningkat berikutan negara jiran, Thailand sudah pun mengeluarkannya daripada senarai bahan terlarang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata rentetan itu ia juga akan beri kesan kepada pasaran di negara ini.

Sedar risiko dan kemungkinan yang bakal dihadapi, Razarudin menjelaskan sempadan negara akan ditambahbaik melalui Ops Benteng.

“Sebelum kerajaan negara itu mengumumkan perkara itu, permintaan ketum di Malaysia pada ketika ini pun tinggi, hasilnya rampasan ketum di Perlis dan Kedah juga banyak,” katanya.

Selasa lalu, media melaporkan Thailand mengeluarkan ketum daripada senarai dadah berbahaya sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka.

Bagaimanapun, tindakan itu dikritik pengawal selia perubatan beberapa negara lain sebagai tidak selamat kerana wujud risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya akan menggandakan pemantauan di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Kita akan memberkas individu atau sindiket yang menggunakan laluan ‘tikus’ di sempadan untuk menyeludup tumbuhan itu,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ketum, polis,