Sambutan Hari Kebangsaan tanpa penonton


  • Primer
  • Khamis, 26 Ogos 2021

MOHAMAD Mentek berkata persiapan dan persediaan HKHM 2021 kini mencapai 90 peratus.— BERNAMA

SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021) tidak akan melibatkan kehadiran orang awam secara fizikal dan dilaksanakan dalam skala kecil secara bersemuka serta terkawal, kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menurut Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mohammad Mentek, jumlah petugas dan tetamu yang hadir secara fizikal juga dikurangkan kepada 60 peratus berbanding perancangan awal, selaras dengan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Persiapan dan persediaan HKHM 2021 kini telah mencapai 90 peratus.

"Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM 2021, saya berpuas hati dengan persiapan dan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan kementerian yang terlibat," katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 31 Ogos manakala Sambutan Hari Malaysia diraikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Sept.

Beliau berkata hanya empat persembahan utama akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara iaitu persembahan drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pancaragam gabungan badan beruniform pelbagai agensi serta pertunjukan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh masa acara pada tahun ini akan berlangsung di lokasi dengan masa yang singkat iaitu hanya 50 minit.

Katanya, beberapa kejutan menanti penonton televisyen sewaktu sambutan yang akan menggabungkan elemen teknologi terkini berkonsepkan Mix Reality iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

Selain itu, pelbagai pertandingan dan program telah dianjurkan mulai 1 Ogos termasuk Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021, Sayembara Sajak Merdeka 2021, Pertandingan Mewarna dan Melukis MyDoodle@Merdeka 2021 dan Pertandingan Video TikTok Ilham Merdeka 2021. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram