Jangan lantik 'kayu mati' dalam Kabinet baharu


  • Massa
  • Rabu, 25 Ogos 2021

MOHAMED Azmin mempunyai rekod yang baik dalam pentadbiran kerajaan berbanding Hamzah. — THE STAR

KABINET kerajaan baharu yang bakal dilantik perlu menjalankan tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin dan tidak menjadi 'kayu mati' terutamanya dalam soal membantu rakyat.

Menurut Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir, sesiapa yang dilantik perlu memastikan tindak-tanduk dan tindakan mereka harus wajar di mata rakyat.

"Jika mereka membuat sebarang tindakan yang dilihat bertentangan dengan kehendak rakyat, itu akan memberi kesan dalam kerajaan. Cakap lain tetapi buat lain.

"Kerajaan baharu tidak boleh membuat kesilapan serta perlu bergerak dan bertindak atas landasan yang betul," ujarnya ketika dihubungi Majoriti hari ini.

Tambah Jeniri, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan meletakkan mereka yang sebetul-betulnya layak mengisi sesuatu portfolio jawatan itu.

"Kalau salah lantik, kebanyakan orang akan kecewa, bukan sahaja komponen parti itu sendiri tetapi rakyat turut kecewa.

"Ketika ini, tidak boleh mengecewakan rakyat kerana harapan rakyat amat tinggi dan kerajaan baharu perlu keluar daripada imej serta bayangan kerajaan terdahulu," jelas beliau lagi.

Hamzah

Hamzah turut dikhabarkan menjadi calon Timbalan Perdana Menteri baharu. — BERNAMA

Dalam perkembangan berlainan, penganalisis politik, Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu akan mencetuskan persepsi berbeza.

"Saya anggap kalau Mohamed Azmin dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau akan mencetuskan kontroversi berhubung persepsi orang terhadap kabinet baharu kelak tetapi sudah tentunya Ismail Sabri mempunyai alasan tersendiri jika melantik Mohamed Azmin.

"Sekiranya Hamzah dilantik, kabinet baharu mirip dengan Umno dan jika ahli Umno diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri, mungkin mencetuskan persepsi bahawa kerajaan ini adalah kerajaan Umno," ujar beliau.

Terdahulu, Mohamed Azmin dan Hamzah hangat diperkatakan bakal mengisi jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu yang bakal diumumkan minggu ini. — MAJORITI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TPM, Kabinet