Perkhidmatan awam kekal efisien walaupun PM bertukar


  • Primer
  • Rabu, 25 Ogos 2021

MOHD Khairul berharap agar kakitangan awam dan kekal melaksanakan tugas dengan efisien tanpa berpihak pada mana-mana kepercayaan politik. — BERNAMA

PERUBAHAN landskap politik dan kepimpinan negara tidak akan menjejaskan sistem perkhidmatan awam negara dan ia akan terus beroperasi seperti biasa bagi kemudahan rakyat.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman, perubahan politik tidak mempengaruhi kelancaran sistem perkhidmatan awam yang berkhidmat dengan ikrar dan prinsip akauntabiliti dalam menjalankan tugas.

Jelas beliau, orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan malah kaunter di Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran dan sebagainya seperti biasa walaupun berlaku peralihan kuasa Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, melihat kepada peralihan kuasa selepas Pilihan Raya Umum 2018, tiada satu pun perkhidmatan awam yang terjejas meskipun banyak kegusaran yang dilontarkan oleh orang ramai.

Selain itu, dalam aspek lain, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan program kerajaan termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang terus dijalankan merupakan bukti bahawa sistem perkhidmatan awam masih beroperasi dengan lancar.

Hurai beliau lagi, penjawat awam perlu bersikap neutral dan berkecuali serta sentiasa mengikut arahan tanpa berpihak atau fanatik dengan mana-mana parti politik.

Beliau juga berharap agar kakitangan awam dan kekal melaksanakan tugas dengan efisien dan terus berkhidmat untuk kemudahan rakyat walau dalam apa jua situasi. — BERNAMA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram