Selesai jumpa PM, Anwar jamin suhu politik stabil dengan syarat


  • Politik
  • Rabu, 25 Ogos 2021

ANWAR Ibrahim mengulas tentang pertemuanya dengan Perdana Menteri di Putrajaya.

PAKATAN Harapan sedia membantu menstabilkan suhu politik jika kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dapat menangani isu Covid-19 dengan baik dan menumpukan program pro rakyat.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dengan Perdana Menteri itu di Putrajaya pada Rabu merupakan permulaan yang baik.

"Kita dijemput oleh Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan selama lebih sejam.

"Kita kemukakan tentang menangani permasalahan Covid-19 yang lebih berkesan dan program pro rakyat yang lebih menyentuh kepada permasalahan golongan miskin dan kehilangan pekerjaan.

"Itu yang kami tekankan sebagai (perkara) asas," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau juga memberi jaminan bahawa keadaan politik akan lebih terkawal jika kedua-dua perkara itu dapat diterjemahkan dengan baik oleh kerajaan.

"Untuk mententeramkan keadaan dan mengurangkan suhu politik, itu yang kami kemukakan sebagai keutamaan," katanya.

Anwar dijemput ke pertemuan itu bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata tiga ketua parti pembangkang itu dijemput mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri.

"Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng bersama Datuk Seri Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri, atas jemputan Pejabat Perdana Menteri," katanya menerusi satu pesanan ringkas di Whatsapp. – Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Anwar Ibrahim, Ismail Sabri, jemputan