SEKALI pun ada kemudahan awam yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), rakyak tidak perlu bimbang kerana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir mencukupi bagi menampung jumlah penduduk terjejas.
Jaminan itu dibuat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memandangkan kebanyakan lokasi PPS adalah lokasi yang berbeza dengan PPV.
Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Operasinya, Meor Ismail Meor Akim berkata hampir 90 peratus PPS menggunakan bangunan sekolah manakala PPV menggunakan fasiliti awam seperti dewan atau stadium.
"Jadi, kebarangkalian untuk timbul isu terlalu kecil termasuk jika perlu mengasingkan pesakit positif Covid-19 di pusat pemindahan," katanya selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
Dalam masa sama, Meor Ismail menjelaskan kebanyakan negeri sudah pun berada dalam situasi siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya bagi menghadapi musim tengkujuh.
Monsun Timur atau pun musim tengkujuh dijangka mula melanda negara November ini.
Selain itu, mesyuarat di peringkat pusat juga akan dilaksanakan pada minggu kedua September bagi mendapatkan gambaran penuh persediaan yang akan dilakukan.
"Lawatan kerja telah diadakan di Johor semalam, persiapan sudah dilakukan di negeri tersebut malah negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ini termasuk berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan pengasingan penduduk terjejas banjir yang positif Covid-19," katanya. – Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram