KKM jawab isu tamat khidmat pengamal perubatan swasta


  • Primer
  • Khamis, 26 Ogos 2021

PROSES vaksinasi di semua PPV Integrasi masih dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta. — Agensi

PENAMATAN pengamal perubatan am swasta (GP) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang dibuat selepas meneliti pelbagai aspek.

Antara yang diambil kira adalah kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) jumlah vaksin, bekalan vaksin dan bilangan penduduk yang masih perlu diimunisasi.

Menerusi kenyataan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), keputusan itu hanya bersifat sementara.

"Sehingga kini 1,688 daripada kira-kira 7,000 GP di seluruh Malaysia terlibat dalam PICK. Pada 24 Ogos 2021, daripada 32,212,527 dos vaksinasi yang diberikan di seluruh negara di bawah PICK, hampir 1,087,813 juta dos telah diberikan oleh GP.

"Jumlah ini ialah 3.4 peratus daripada keseluruhan vaksin yang diberi di bawah PICK. Selain GP, terdapat 471 organisasi lain yang terdiri daripada hospital swasta, tempat persendirian dan industri yang terlibat dalam PICK,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 700 klinik swasta terpaksa dihentikan perbabitan dalam PICK namun ramai pihak tampil meminta keputusan itu dinilai semula bagi melancarkan program imunisasi kebangsaan.

Bagaimanapun, KKM dan MOSTI menjelaskan pembabitan GP sejak Mei lepas berjaya menyumbangkan kejayaan, menyaksikan sebahagian besar penduduk Lembah Klang divaksin.

Dalam kenyataan sama turut menyebut yang proses vaksinasi di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi juga dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta.

"Misalnya PPV Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang mempunyai kapasiti harian 23,000 dos suntikan dikendalikan oleh lapan Organisasi Penjagaan Kesihatan (HCO), melibatkan lebih 576 petugas serta 192 penyuntik sehari, iaitu lebih kurang 24 penyuntik bagi setiap HCO.

"Beberapa PPV juga yang pada mulanya dikendalikan oleh KKM, telah diambil alih oleh pengamal perubatan swasta.

"Di Lembah Klang, 438,812 dos atau 3.6 peratus daripada keseluruhan jumlah dos telah dikendalikan oleh 760 GP daripada jumlah pemberian vaksin COVID-19. Kami ingin menyeru GP, terutamanya di Lembah Klang untuk terus teguh bersama kami dalam menjayakan PICK,” katanya. – Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin, PPV, KKM, PICK