Sumber perikanan negara semakin pulih


  • Primer
  • Khamis, 26 Ogos 2021

KADAR hasil tangkapan ikan makin bertambah baik sejak program pemulihan sumber dilakukan pada 2016. — Agensi

PELAKSANAAN langkah kawalan dan pemulihan sumber perikanan sejak 2016 menyaksikan kadar pendaratan ikan mula menunjukkan tanda pulih.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sudah pun melakukan langkah pengezonan semula kawasan penangkapan di pantai barat semenanjung (Selangor, Perak, Kedah dan Perlis).

Selain itu, jabatan berkenaan turut mahu menghapuskan pukat tundak di Zon B, radius lima hingga 15 batu nautika dari pantai di seluruh negara dan langkah ini adalah bagi memastikan kelangsungan nelayan tempatan.

“Kesan dari langkah pemulihan ini, pendaratan ikan zon pantai di pantai barat Semenanjung telah menunjukkan peningkatan positif walaupun bilangan vesel beroperasi telah berkurangan.

“Bagaimanapun, pendaratan ikan di Zon C (15 batu nautika ke atas) pula mencatatkan penurunan kerana banyak vesel tidak dapat beroperasi disebabkan kebergantungan terhadap pekerja asing di mana kemasukkan pekerja asing di awal tempoh wabak Covid-19 telah tersekat,” kata DOF menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Menerusi kenyataan sama, DOF juga menjelaskan terdapat banyak pertambahan pulau yang akan diwartakan sebagai Taman Laut dan tukun yang akan dilabuhkan di seluruh negara.

“Sejak tahun 2017, sebanyak 1,606 unit tukun tiruan dengan kos melebihi RM 27 juta telah dilabuhkan di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, DOF juga berkata Akta Perikanan 1985 tidak hanya terhad kepada pencerobohan kapal asing sebaliknya turut membabitkan golongan tempatan.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah penggunaan peralatan dilarang, menangkap ikan tanpa lesen dan pencerobohan di kawasan zon menangkap ikan.

“Sehingga kini, kami berjaya mengurangkan bilangan vesel menangkap ikan dari 56,211 buah pada tahun 2015 kepada 48,826 buah pada tahun 2020,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

DOF, Ikan, Nelayan