PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal mengumumkan senarai anggota Kabinet baharu pada Jumaat manakala majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri pula akan berlangsung Isnin hadapan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu pesanan ringkas, pengumuman pembentukan Kabinet baharu akan dibuat pada pukul 11 pagi esok.
"Esok, esok, pukul 11," kata Ismail Sabri ketika dihampiri media sewaktu meninggalkan Bangunan Perdana Putra petang tadi.
Sementara itu, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri akan berlangsung pada pukul 2.30 petang, Isnin depan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri, di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu selepas dilantik menjawat jawatan itu apabila menerima sokongan 114 di Parlimen. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram