SENARIO politik baharu yang ditonjolkan dalam Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama parti pembangkang telah dibincangkan sejak 2006 menerusi penerbitan sebuah buku, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Kenyataan itu dibuat oleh Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi hantaran di Twitter rasminya hari ini.
"Saya mula membincangkan mengenai Politik Baharu sejak 2006. Ia adalah idea yang masih menunggu pelaksanaannya. Sudah tentu saya memahami dinamik politik sebenar. Tetapi saya masih perlu teruskan idea ini,” katanya yang menerbitkan sebuah buku berjudul Politik Baru pada 2006.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bahagian pertama buku yang dihasilkan menghuraikan tentang keperluan meninggalkan amalan politik lama yang negatif diganti dengan politik baharu yang lebih bersih dan segar.
Manakala bahagian kedua pula, Saifuddin berkata ia menceritakan perubahan politik negara ke tahap lebih tinggi dan meninggalkan perbezaan politik yang terlalu adversarial atau tajam seperti lawan politik dijadikan musuh ketat.
Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dan tiga pemimpin utama parti pembangkang dalam satu pertemuan telah bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.
Menurutnya, kesemua pemimpin iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, bersetuju tentang pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram