Hukuman pasangan kekasih cederakan kanak-kanak ditangguh 29 September


  • 112
  • Rabu, 25 Ogos 2021

MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh, Melaka menangguhkan hukuman pasangan kekasih yang mencederakan kanak-kanak pada 29 September ini. — Bernama

MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh Melaka pada Rabu menangguhkan hukuman terhadap seorang wanita dan teman lelaki yang mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

Tertuduh Tan Mei Yun, 30, yang juga ibu kandung mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, yang mengaku bersalah atas dakwaan itu ditangguhkan hukuman pada 29 September ini bagi menunggu fakta kes.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kanak-kanak, cedera, ibu kandung