CUBAAN menyeludup minuman keras tidak bercukai yang sarat dibawa menggunakan tiga buah lori dari Labuan ke Sabah berjaya ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan dalam satu pemeriksaan polis Isnin lalu.
Menurut pegawai pemerintah PPM Labuan, Asistan Superintenden Polis, Saidul Maruf Rosli, ketiga-tiga lori yang dipandu lelaki warga tempatan dipercayai bergerak dari Labuan ke Menumbok dengan menggunakan feri kenderaan ro-ro.
Jelas beliau, mereka disyaki cuba menyeludup minuman berkenaan ke tanah besar Sabah selepas pemeriksaan polis di Pekan Menumbok mendapati bahawa ketiga-tiga lori dipandu mereka sarat dengan minuman keras tidak bercukai.
Ketiga-tiga pemandu berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Saidul juga menambah, barang rampasan termasuk minuman keras tanpa cukai dan tiga buah lori dianggarkan bernilai lebih RM663,000.
Semua bahan rampasan dan tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastan 1967.
Dalam pada itu, Saidul turut memberitahu, orang ramai diminta supaya melaporkan aktiviti yang melanggar undang-undang kepada PPM Wilayah 4 Sabah. Sebarang laporan boleh dilakukan terus ke talian 24 jam atau menerusi aplikasi permesejan Whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-939 1197. — BERNAMA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram