Padah tukar nombor telefon, wanita rugi hampir RM50,000


  • 112
  • Khamis, 26 Ogos 2021

MANGSA berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook, Julai lepas, sebelum berhubung aplikasi WhatsApp. — AZHAR MAHFOF/The Star

SEORANG jurujual wanita berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tukaran wang asing yang menyebabkan kerugian sebanyak RM45,979.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 28 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook, Julai lepas, sebelum bertukar nombor telefon dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

"Wanita berkenaan yang percaya kepada lelaki tersebut kemudiannya ditawarkan menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest dan dijanjikan keuntungan tinggi.

"Mangsa telah bersetuju dengan tawaran tersebut dan kemudiannya membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank yang diberikan lelaki itu,” katanya.

Menurut beliau, mangsa membuat laporan polis selepas suspek gagal dihubungi selain mendapati aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga telah dinyahaktif.

Noorzainy berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kes penipuan.— BERNAMA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

scam, forex, Noorzainy Mohd Noor