Makin ramai rakyat mula cari rumah teres 'subsale'


  • Bizz
  • Rabu, 25 Ogos 2021

PERMINTAAN terhadap hartanah subsale meningkat ke paras positif pada separuh pertama tahun ini terutamanya di kawasan pinggir bandar. — AGENSI

PERMINTAAN terhadap hartanah jenis sekunder atau subsale menunjukkan peningkatan 19.2 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Ia menunjukkan perkembangan positif berbanding paras negatif yang dicatatkan pada separuh pertama tahun lalu.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan & Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata penyenaraian dalam portal berkenaan merangkumi teres, kondominium dan pangsapuri.

"Pandemik Covid-19 tidak mendatangkan kesan yang buruk ke atas segmen ini seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun lalu apabila permintaan pada ketika itu menjunam hingga ke paras negatif.

"Salah satu faktor penting yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama tahun ini adalah pencari hartanah mulai selesa dengan kaedah carian hartanah di dalam talian.

"Selain melayari hartanah di dalam talian, perbincangan susulan dengan ejen secara maya juga diterima sebagai satu norma baharu," katanya dalam kenyataan selepas pembentangan laporan Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021 oleh iProperty.com.my.

Dalam masa sama, Pathmanathan turut menjelaskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga Disember 2021 juga bertindak sebagai penggalak.

Pelbagai tawaran hartanah memberikan kesan limpahan ke atas segmen kediaman sekunder dan pencari hartanah cukup teliti dengan melayari rumah sekunder bagi membandingkan harga.

"Pertumbuhan permintaan sebanyak dua angka bukan sekadar mencerminkan peningkatan dari segi minat terhadap hartanah.

"Pembeli rumah ternyata benar-benar berminat untuk membuat pembelian kerana ramai yang mengambil langkah susulan seperti memohon pinjaman perumahan pada suku pertama 2021," katanya.

Katanya, permintaan terhadap rumah teres di Kuala Lumpur pada 27.1 peratus dengan pertumbuhan harga permintaan sebanyak 2.9 peratus khususnya di Bangsar.

Lokasi itu menyaksikan permintaan kukuh terhadap rumah teres berharga di antara RM1.5 juta hingga RM2 juta.

Manakala di Selangor, kawasan pinggir bandar di negeri ini menjadi pilihan utama berikutan harga mampu milik dan keluasan hartanah. — MAJORITI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

subsale, rumah, hartanah