KKM tidak akan tawar lagi doktor tolak jawatan tetap


  • Primer
  • Rabu, 25 Ogos 2021

SEKUMPULAN doktor kontrak Hospital Kuala Lumpur melakukan mogok pada 26 Julai lalu. — AZHAR MAHFOF/THE STAR

KIRA-KIRA satu pertiga daripada 300 jawatan tetap yang ditawarkan kepada doktor kontrak bulan ini telah ditolak, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, mereka yang menolak tawaran itu tidak akan ditawarkan lagi pada masa akan datang.

Menurut Mohd Shafiq, daripada 300 jawatan yang ditawarkan, hanya seramai 200 orang atau 66 peratus pegawai telah bersetuju menerima tawaran berkenaan.

"Seramai 85 pegawai menolak tawaran manakala seramai 15 pegawai lagi telah meletak jawatan berikutan mendapat tawaran pekerjaan lain," ujarnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Tegas beliau, peluang pelantikan tetap ini tidak sepatutnya dilepaskan pada ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya melantik mereka secara tetap.

Kesemua mereka yang ditawarkan membabitkan pegawai perubatan daripada kohort ketiga, iaitu lantikan pada 15 Mei 2017.

"Daripada jumlah itu, 150 pegawai perubatan iaitu 19 pegawai kelahiran Sabah dan 131 pegawai kelahiran Semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.

"Seramai 150 pegawai kelahiran Semenanjung pula dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak. Kesemua anak kelahiran Sarawak dalam kohort lantikan itu telah pun dilantik tetap dalam urusan terdahulu," katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan pegawai yang telah ditawarkan pelantikan tetap adalah seramai 1,089 orang sejak lantikan pertama secara tetap pegawai perubatan pada tahun 2018 hingga kini.

Pada 26 Julai lalu, sekumpulan doktor berstatus kontrak digelar sebagai 'Hartal Doktor Kontrak' menjalankan mogok di seluruh negara bagi mendesak mereka dilantik secara tetap dan mahu perubahan dilakukan terhadap sistem yang menyekat perkembangan karier serta tiada keselamatan pekerjaan.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KKM, doktor