SKUAD Harimau Malaya terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Timor Leste dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Asean 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Rabu.
Meskipun dicanang mampu meraih kemenangan mudah, aksi skuad bimbingan Pau Marti Vicente jauh daripada jangkaan.
Malah, babak pertama menyaksikan barisan pemain Harimau Malaya kelihatan sukar untuk menguasai permainan, apatah lagi memecah benteng pertahanan Timor Leste yang tampil penuh disiplin.
Harapan tinggi yang diletakkan penyokong tampak memudar apabila pasukan negara kerap kehilangan bola di kawasan penting dan gagal mencipta peluang berbahaya.
Namun, Harimau Malaya bernasib baik memiliki Paulo Josue, yang muncul penyelamat dengan jaringan kemenangan pada minit ke-85, ketika perlawanan hampir tamat.
Gol itu bukan sahaja menyelamatkan maruah skuad negara tetapi juga memastikan tiga mata penting dapat diraih untuk kekal bersaing dalam kejohanan.
Bagaimanapun, kemenangan di laman sendiri itu tidak cukup memuaskan penyokong yang berasa kecewa terhadap persembahan pasukan, terutamanya daripada pemain yang berkali-kali melakukan kesilapan.
Tetapi, di sebalik nama-nama yang menerima kecaman di media sosial itu, tiga daripada mereka menerima pujian atas kesungguhan dan sinaran ditonjolkan sepanjang berada di atas padang.
Daniel Amier (Kuching City)
Sikap tenang dan tidak gopoh yang dipamerkan membuatkan Daniel Amier mampu menggalas tanggungjawab sebagai penggerak utama pasukan. — Facebook/FAM
Muhammad Danial Amier Norhisham atau lebih dikenali dengan nama Daniel Amier dalam kalangan penyokong bukanlah nama yang asing dalam sukan bola sepak negara.
Malah pemain berusia 27 tahun ini juga sudah empat kali menyarung jersi kebangsaan, maka tidak hairanlah dia dilihat tenang dan mampu mematahkan beberapa percubaan pihak lawan ketika cuba membolosi benteng pertahanan negara.
Bukan itu sahaja, pemain tengah yang kembali selepas bergelut dengan kecederaan berjaya membuktikan kematangannya di atas padang.
Sikap tenang dan tidak gopoh yang dipamerkan membuatkan dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai penggerak utama pasukan.
Permainannya menunjukkan bahawa dia layak berada dalam skuad tersebut meskipun pernah berdepan kritikan sebelum ini atas faktor konsistensi sepanjang kariernya bersama Harimau Malaya
Fergus Tierney (Bekas pemain Johor DT II)
Kelincahan Fergus Tierney (tengah) di atas padang ketika bersama skuad Harimau Malaya juga menunjukkan pemain muda itu begitu serasi dengan pemain yang lain walaupun kesukaran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. — Facebook/FAM
Walaupun masa depan Fergus Tierney masih lagi suram, namun aksi yang ditunjukkan pemain warisan ketika beraksi menentang Timor Leste tidak dapat dipertikaikan lagi.
Seolah-olah mahu menunjukkan kehebatannya, penyerang berusia 21 tahun tidak mengambil masa lama mencuri tumpuan apabila melakukan hantaran yang disudahkan Syafiq Ahmad pada minit ke-38.
Hantaran padunya itu sekali gus membuktikan kebolehannya untuk memberikan sumbangan segera kepada pasukan.
Malah, dia kelincahannya di atas padang ketika bersama skuad Harimau Malaya juga menunjukkan pemain muda itu begitu serasi dengan pemain yang lain walaupun kesukaran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
Fazrul Amir Zaman (Kelantan Darul Naim)
Fazrul kelihatan selesa di atas padang, malah berjaya menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan Harimau Malaya yang lain. — Facebook/FAM
Bagi Fazrul Amir Zaman, debut bersama Harimau Malaya tidak membuatkannya gentar untuk melakukan percubaan dalam mengelirukan pihak lawan dengan usahanya itu boleh dikatakan sesuatu yang berani.
Walaupun baru pertama kali menyarung jersi kebangsaan, Fazrul kelihatan selesa di atas padang, malah berjaya menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain.
Tindakannya yang penuh keyakinan menjadi nilai tambah kepada skuad kebangsaan meskipun hanya dibawa masuk pada babak kedua perlawanan itu.
Meskipun keputusan perlawanan tersebut mengecewakan bagi sesetengah pihak, kehadiran pemain-pemain ini memberikan harapan baharu kepada Harimau Malaya.
Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan, mereka berpotensi menjadi tunjang kekuatan pasukan di masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram