Hikmah dihina Gus Miftah demi isi minyak motor, rezeki penjual teh ais cecah RM100,000 dalam masa 2 hari


  • Benua
  • Jumaat, 06 Dis 2024

Sunhaji yang tidak pernah berputus asa mencari rezeki walaupun dengan hanya menjual teh ais.

REZEKI tidak pernah salah alamat. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan dengan situasi seorang penjual teh ais di Indonesia bernama Sunhaji yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini kerana dihina oleh penceramah selebriti ketika dalam majlis agama.

Melihat perwatakan Sunhaji yang tenang apabila dilontarkan dengan kata-kata keji oleh penceramah bernama Gus Miftah, dia sememangnya layak untuk disanjung dan dipuji masyarakat seluruh dunia.

Namun, terdapat beberapa sisi dan kisah yang mungkin tidak diketahui ramai tentang hidup Sunhaji sebagai penjual teh ais.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas hina penjual teh ais, satu per satu perangai Gus Miftah terbongkar termasuk tunjal kepala isteri

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas kena kecam satu Indonesia, Gus Miftah tampil minta maaf bergurau kasar dengan penjual teh

Berdasarkan perkongsian beberapa warganet di Facebook, Sunhaji ternyata seorang anak yatim piatu sejak kecil dan dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) kerana sebelah tangannya sahaja yang boleh berfungi dengan baik.

Sunhaji juga terpaksa menumpang di rumah mertuanya yang kecil dan sempit, tetapi tetap tidak berputus asa mencari sesuap rezeki.

Selain bersikap rajin dan peramah, Sunhaji juga sering menjadi bilal di masjid serta kerap mengikuti ceramah-ceramah agama sambil menjual dagangannya.

Ketika kejadian dihina Gus Miftah, Sunhaji sebenarnya sedang mencari wang untuk mengisi minyak motosikal agar dapat pulang ke rumah.

Pada malam tersebut, Sunhaji berjaya menjual sebanyak tujuh gelas teh ais berharga RM8.30 sahaja. RM5.50 daripada jumlah itu bagaimanapun dibawa pulang untuk diberikan kepada dua anaknya di rumah.

Namun, berkat kesabaran dan ketenangannya selepas tular dengan kejadian itu, Sunhaji menerima pelbagai bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.

Berikut antara sumbangan yang diberikan oleh individu-individu berpengaruh di Indonesia.

1. Seorang pempengaruh Indonesia, Willie Salim memberi RM28,000 tunai. Ustaz Adi Hidayat pula memberi RM13,967, Dr Richard Lee dan Ustaz Salim Fillah pula berjanji akan membiayai pengajian anak-anak beliau sehingga tamat.

2. Selain itu, ada individu dengan nama Bang Senja mengirimkan hadian TikTok bernilai RM83,802 Tiktok Rian Ariffin.

3. Ustaz Muhammad Fakhrurazzi pula akan membawa Sunhaji dan isteri menunaikan umrah Ramadan nanti.

4. Masjid Nurul Ashri akan membina sebuah rumah untuknya dan keluarga dengan kos dijangka menelan belanja sekitar RM83,802.

5. Partai Gerinda menyediakan bantuan modal untuk beliau berniaga.

6. Bantuan dari pelbagai pihak sekitar RM55,868.

Bukan itu sahaja, pempengaruh dari Malaysia yang dikenali dengan nama Aisar Khaled juga menyuarakan tentang niatnya untuk menghulurkan bantuan kepada Sunhaji baru-baru ini.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan wang yang diterima Sunhaji adalah lebih RM100,000 (30 juta Rupiah) dalam tempoh dua hari selepas kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram