[VIDEO] Pengajaran dari China, ramai kebulur tak mampu beli sekeping roti sebab ‘cashless’ angkara Taufan Yagi


  • Benua
  • Khamis, 12 Sep 2024

Orang ramai tidak boleh membayar bayaran tanpa menggunakan peranti mudah alih.

TAUFAN Yagi yang disifatkan sebagai ribut terkuat Asia tahun ini melanda Hainan, China pada Jumaat lepas sehingga menyebabkan pelbagai kemusnahan.

Dengan kelajuan angin maksimum mencecah 234 km/j (145 mph), Yagi merupakan taufan tropika kedua terkuat di dunia selepas Beryl, juga menyebabkan penduduk di China menderita.

Terjadinya gangguan bekalan elektrik menimbulkan kesukaran yang ketara kepada penduduk di negara itu sehingga menyebabkan orang ramai bercakap soal cabaran hidup dalam masyarakat tanpa tunai.

BACA LAGI: Tak sempat pandu kereta hadiah anak, bapa maut lepas cabut 23 batang gigi di China

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal penjual makanan goreng, gadis sunti Sumatera ditemukan ditanam tanpa seurat benang

Manakan tidak, ramai pengguna di China mendapati diri mereka tidak dapat menjalankan transaksi tanpa akses kepada peranti mudah alih.

Perkara itu dibuktikan apabila sebuah rakaman video yang dimuat naik di laman X menunjukkan penduduk di China berkerumun di sekitar stesen pengecas sementara, sewaktu vendor menyediakan sistem berkuasa enjin untuk membantu orang ramai mengecas semula telefon mereka.

Seorang pengguna, @Songpinganq menjelaskan bahawa ramai orang terdesak untuk mengecas telefon mereka kerana semua wang mereka disimpan dalam sistem e-pembayaran.

"Selepas taufan, bekalan air dan elektrik terputus. Orang ramai terdesak mahu mengecas telefon mereka kerana semua wang mereka disimpan dalam mobile wallet.

"Tanpa telefon, anda tidak boleh membeli roti," katanya.

Video itu telah mencetuskan perbualan tentang potensi kelemahan masyarakat tanpa tunai sepenuhnya terutamanya semasa krisis terjadi.

Dalam video berasingan, kebimbangan mengenai pergantungan pada kenderaan elektrik telah dibangkitkan.

Rakaman video menunjukkan penduduk bergegas ke stesen pengecas kerana kenderaan mereka kehabisan tenaga kuasa.

Hantaran di laman X mendedahkan bahawa hanya mereka yang mempunyai skor kredit sosial 550 ke atas boleh mengecas semula menggunakan WeChat, dompet digital utama China.

Video tersebut juga menyerlahkan satu lagi aspek ekonomi digital China iaitu mata wang digital dengan tarikh luput.

Pengguna mesti membelanjakan wang mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan atau berisiko kehilangan akses kepadanya.

Selain itu, akaun boleh dibekukan berdasarkan skor kredit sosial, seterusnya menyekat akses kepada dana.

Siaran itu merujuk contoh sebelumnya iaitu semasa pandemik Covid-19 apabila rakyat China dihalang daripada menggunakan pembayaran digital jika pasport vaksinasi mereka tamat tempoh yang menyebabkan terpotong akses kepada perkhidmatan penting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram