OPERASI ketenteraan Israel di wilayah Rafah, Palestin terus menerima kecaman dunia termasuk ibu bapa kira-kira 600 unit elit rejim yang mahu serangan tersebut dihentikan segera.
Rejim Zionis kini dalam fasa terakhir untuk melengkapkan operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza selepas hampir setiap hari melakukan serangan bagi menghapuskan pejuang Hamas susulan serangan mengejut kumpulan Palestin itu pada 7 Oktober tahun lalu.
Selepas hampir 8 bulan mengebom dan memusnahkan kemudahan serta kediaman penduduk Gaza, Israel mahu menamatkan perang tersebut dengan menggempur kubu terakhir pejuang Hamas di Rafah.
BACA LAGI: Hamas setuju cadangan gencatan senjata 7 bulan, Israel berkeras serang Rafah
BACA LAGI: AS ugut henti hantar senjata ke Israel jika Rafah diserang
Sekutu kuat rejim, Amerika Syarikat lebih awal membantah serangan di Rafah dan mengancam untuk menghentikan penghantaran senjata kepada Israel jika hasrat itu diteruskan.
Malah tindakan Israel itu memudarkan harapan untuk mencapai gencatan senjata antara kedua-dua pihak, sekali gus menamatkan konflik berdarah di wilayah bergolak Asia Barat itu.
Penduduk Palestin menuruni tangga kediaman yang musnah akibat dibedil tentera Israel. — Reuters
Perang di Gaza juga tidak mendapat restu penduduk Israel yang setiap hari mengadakan bantahan dan mendesak Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meletak jawatan dengan segera.
Terbaharu, sekumpulan ibu bapa kepada 600 komando Israel menghantar surat terbuka kepada Netanyahu dengan desakan agar operasi darat di Rafah dihentikan segera seperti dikongsikan pemerhati politik Israel, Noga Tarnopolsky menerusi laman X.
Sebahagian isi surat terbuka ibu bapa komando Israel yang tersebar di media sosial. — X
Ini kerana surat bertarikh 11 Mei 2024 itu menyatakan bahawa ibu bapa askar tersebut bimbang dengan keselamatan nyawa anak mereka yang diperjudikan atas sebab nafsu politik Netanyahu yang mahu kekal berkuasa, sedangkan operasi tersebut tidak perlu diteruskan.
Mereka juga mendesak agar Israel menerima perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Mesir dan Qatar bagi menamatkan konflik tersebut, sekali gus menyaksikan pertukaran tahanan Israel dan Palestin.
Kira-kira 1.4 juta pelarian kini berlindung di Rafah dan terancam akan pelan tentera Israel melancarkan serangan di bandar itu. — Reuters
Berdasarkan laporan sebelum ini, Netanyahu tetap dengan pendiriannya menolak gencatan senjata itu dan mahu menutup kempen ketenteran di Gaza dengan kejayaan besar.
Di sebalik desakan dunia dan dari penduduk Israel sendiri, rejim Zionis tetap berdegil dengan menawan kawasan lintasab Rafah dan mara ke kawasan bandar.
Hampir 40,000 rakyat Palestin dilaporkan terkorban, terutamanya wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman tentera Israel dan lebih 1.4 juta lagi menjadi pelarian dan kini berlindung di Rafah.
Malah lebih 80,000 penduduk wilayah itu mengalami kecederaan dan agensi perubatan dunia memberi amaran tentang krisis kemanusiaan yang bakal diharungi penduduk Gaza jika perang tidak dihentikan segera bagi memberi laluan kepada misi bantuan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram