[VIDEO] Pejalan kaki buat bodoh biarkan budak kena serang sekawan anjing liar sampai parah


  • Benua
  • Ahad, 31 Dis 2023

Video insiden serangan anjing liar pada Sabtu itu turut tular di media sosial. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah selepas diserang sekumpulan anjing liar dalam kejadian di Andhra Pradesh, Guntur, India pada Sabtu.

Video mengenai kejadian tersebut turut tular di media sosial yang memaparkan insiden tersebut.

Menerusi klip tersebut, sekurang-kurangnya terdapat lima ekor anjing liar dilihat menyalak ke arah mangsa sebelum menyerang kanak-kanak malang itu.

Lebih mengejutkan, seorang lelaki dewasa yang berjalan berdekatan mangsa ketika serangan didapati terus berjalan tanpa menghiraukan keadaan yang berlaku.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa saat kemudian, seorang penunggang motosikal dilihat tampil menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, pegawai polis tempatan memaklumkan ketika kejadian budak lelaki itu yang dikenali sebagai Karthikey sedang dalam perjalanan ke kelas karate berhampiran kawasan kuil Sampat Nagar Shiva di daerah itu.

Akibat daripada kejadian tersebut, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital.

Beberapa insiden serangan anjing liar dilaporkan kerap berlaku di negara tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Malah baru-baru ini, seorang ahli perniagaan terkemuka, Parag Desai turut dilaporkan maut pada Oktober lalu apabila mengalami pendarahan otak dalam satu kejadian serangan anjing liar di Ahmedabad, Gujarat, India. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram