[VIDEO] Macam aksi Too Fast Too Furious, kereta pegawai kanan polis kena tahan dengan peronda lebuh raya


  • Benua
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Tangkap layar kejadian seorang anggota polis dikejar oleh peronda lebuh raya dalam kejadian di Florida, Amerika Syarikat.

SEORANG anggota penguat kuasa lebuh raya di Florida, Amerika Syarikat mencuri perhatian warga maya selepas rakaman aksinya memberhentikan sebuah kereta dipandu laju yang disangka orang awam, tular di media sosial/

Menurut laporan New York Post, peronda lebuh raya itu menerima laporan mengenai sebuah kenderaan dipandu laju melalui trafik Miami Gardens pada malam 29 November lalu dan menghantar salah seorang pegawainya, State Trooper Walner Wroy ke kawasan itu.

Wroy berjaya mengenal pasti kenderaan terbabit, sebuah kereta jenis Kia Stinger di lebuh raya. Bagaimanapun, kenderaan itu tidak memperlahankan atau berhenti sebaliknya terus bertindak memecut melanggar lampu merah.

Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan Wroy akhirnya melanggar bahagian belakang kereta, menyebabkan ia berpusing dan berhenti betul-betul di hadapannya secara bersemuka.

Namun, pemandu kereta yang dihentikan itu sebenarnya merupakan kapten polis Opa-locka, Cory Krotenberg yang kemudian bertindak menyalakan lampu untuk menjelaskan identiti dirinya sebagai penguat kuasa undang-undang.

Dia kemudian keluar dari kereta dan mengangkat tangannya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku.

'Awak bergurau ke? Krotenberg bertanya kepada anggota peronda lebuh raya yang cuba mengejarnya.

"Oh, saya tersalah kereta. Saya tidak nampak lampu di belakang." kata anggota berkenaan.

Difahamkan, Krotenberg merupakan sebahagian daripada anggota operasi antigeng yang sedang mengejar suspek disyaki terlibat dalam jenayah kekerasan.

Krotenberg juga dikatakan dibantu oleh sebuah helikopter untuk membantunya mengesan suspek dalam operasi berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram